Saturday, August 8, 2009

Renungan Motivasi calon STPM

Usaha gigih 'azimat' Ku Hartini



SUNGAI PETANI 10 Mac - Anak seorang juruteknik Jabatan Bekalan Air (JBA), Ku Hartini Ku Halim (gambar), 19, muncul sebagai pelajar terbaik negeri Kedah apabila berjaya memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008.
Ku Hartini dari Taman Ria Murni, dekat sini membukti-kan usaha gigih, konsisten dan fokus mencapai sesuatu matlamat menjadi 'azimat' beliau untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim itu memperoleh A penuh dalam Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Ekonomi.
Menurut Ku Hartini, dia mengamal kaedah belajar dengan mengulang kaji pelajaran setiap awal pagi sebelum pergi ke sekolah.
"Saya bangun kira-kira pukul 3 pagi dan membaca buku hingga masuk waktu sembahyang subuh.
"Selepas itu saya terus ke sekolah dan pulang berehat pada waktu petang. Inilah rutin saya sepanjang tempoh setahun berada di tingkatan enam atas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolahnya di sini hari ini.
Ditanya tentang kehidupan sehariannya, beliau berkata, walaupun gemar menonton drama televisyen, dia akan memastikan hobi itu tidak mengganggu prestasinya dalam peperiksaan tersebut.
"Tiada apa yang boleh saya kongsi, yang penting kita mesti rajin menelaah dan belajar secara bijak," katanya.
Selain Ku Hartini, empat lagi pelajar SMK Ibrahim iaitu Cheah Zhi Quan; Thalitha Naidu; Wan Hazirah Othman dan Leo Hao Han juga memperoleh 4A.


Keratan akhbar Utusan Malaysia 2009

No comments:

Post a Comment